Monday, September 6, 2010

BERSAMA MENCARI LAILATUL QADAR

Lailatul Qadar adalah satu malam yang sangat istimewa dan sangat mulia yang dianugerahkan oleh Allah SWT sebagai tanda kasihnya Allah kepada hambaNya iaitu umat Nabi Muhammad SAW.


Ia juga merupakan satu malam yang dinanti-nanti dan dicari-cari oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat serta solihin, iaitu satu malam yang didatangkan pada bulan Ramadan yang hanya datang sekali dalam setahun.

Ketentuan malam Lailatul Qadar telah disebut oleh Allah SWT di dalam dua surah Al-Quran iaitu surah Al-Qadar dan surah Al-Dukhan:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! Surah Al-Qada, ayat 1-5

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). Surah Al-Dukhan, ayat 3

MAKSUD LAILATUL QADAR

Lailatul Qadar bermaksud malam penetapan dan malam penentuan perjalanan beberapa perkara yang telah ditetapkan oleh Allah SWT ke atas hambaNya iaitu;

o Penentuan rahmat dan azab
o Penentuan tumbuh-tumbuhan dan rezeki
o Penentuan hujan angin dan bencana
o Penentuan ajal dan maut

Oleh itu Lailatul Qadar merupakan malam penentuan takdir Allah ke atas setiap makhluknya yang melibatkan perkara-perkara seperti rezeki, rahmat , sakit, suka, duka, dan ajal maut dari Allah SWT yang ditentukan dari setahun ke setahun iaitu dari satu Lailatul Qadar ke Lailatul Qadar yang lain.

KEISTIMEWAAN LAILATUL QADAR

Keistimewaan malam Lailatul Qadar dapat dilihat dari ayat Allah iaitu Surah Al-Qadar, ayat 3 yang bermaksud “Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan” ia bermaksud barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam ini ganjarannya adalah menyamai beribadah selama 83 tahun empat bulan, iaitu satu tempoh beribadah yang sangat panjang yang melampaui jangkauan umur kebiasaan kehidupan manusia.

Malah pada malam ini juga, Allah menurunkan malaikat Jibril iaitu penghulu segala malaikat serta malaikat-malaikat lain untuk menurunkan segala keberkatan dan kerahmatan di samping mendoakan ke atas orang-orang mukmin di sepanjang malam sehingga terbit fajar agar Allah mengampunkan segala dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka.

Berdasarkan hadis Rasulullah SAW, malam Lailatul Qadar juga dikatakan sebagai satu malam yang sangat aman dan sangat tenang, ia bercuaca cerah seolah-olah disuluh bulan, tidak panas dan tidak sejuk, tiada cahaya bintang sehinggalah menjelang subuh, matahari di waktu paginya keluar tanpa sinar iaitu seperti bulan purnama, manakala di sebelah siangnya tidak terasa panas, udaranya nyaman, tidak panas dan tidak sejuk, tiada hujan dan tiada angin.

KESIMPULAN

Justeru kehebatan malam Lailatul Qadar ini, maka kita hendaklah mengambil kesempatan sepenuhnya untuk mengerjakan amal ibadah sebanyak mungkin dengan membanyakkan amalan-amalan seperti membaca al-Qu’ran, beristighfar, berzikir dan bertasbih kepada Allah SWT.

Dalam kontek ini, Baginda Rasulullah SAW sendiri bersungguh-sungguh mencari malam Lailatul Qadar, terutama di malam-malam sepuluh terakhir Ramadan. Baginda membangunkan isterinya dan mengikat pakaiannya untuk beribadah bagi mencari malam Lailatul Qadar. Dalam hal ini, Baginda juga berpesan dalam satu hadis agar umatnya tidak lalai untuk mencari malam Lailatul Qadar.

1 comment:

"myheart"-abieyazaly- said...

To All Muslims celebrating this coming Eid Celebrations, I wish you all Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin

...~PeMbUkA bICaRa~...

~SwEeT~


~@`OrG2 yG kU sAyAnGi`@~

MUTIARA KATA...


~@~ cInTa ~@~